Assalamualaikum wm wb.
Salam ukhwah, salam perkenalan, salam keinsafan dan salam perjuangan
kepada semua warga SK Telok Berembang tidak kira di mana posisi tuan/puan
berada kerana masing-masing ada misi tertentu yang perlu dilaksanakan di
sekolah kita. Pertama sekali marilah kita merafaqkan kesyukuran kepada Allah
swt kerana dengan izinNya saya berada di SK Telok Berembang dan dapat berjumpa
dengan tuan/puan semua dan balik bertugas di negeri kelahiran saya. Inilah yang
dikatakan perancangan Allah yang Maha Esa yang lebih mengetahui apa yang
terbaik untuk hambaNya.
Jutaan terima kasih kerana memberikan saya peluang melontarkan idea
dan menyatakan harapan dan halatuju saya dalam membawa sekolah kita ke satu
tahap yang membolehkan kita menjadi ‘role
model’ kepada pesaing kita di bidang pendidikan khususnya di kawasan kita
dan negeri Melaka amnya. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas
dan tahniah kepada semua di atas kejayaan cemerlang yang dicapai dalam tahun
2014. Sesungguhnya kejayaan ini merupakan pemangkin dan pencetus semangat dalam
memotivasikan diri kita untuk meneruskan perjuangan yang tiada penghujungnya di
masa-masa mendatang, Insya’Allah. Bersyukur kita kepada Yang Maha Esa di atas
kurniaanNya kepada kita. Apa ertinya sesebuah kejayaan jika kita sebagai
hambaNya alpa akan tanggungjawab kita kepadaNya kerana apa saja yang ada pada
kita bukanlah milik kita yang hakiki.
Tahun 2015 saya kira tahun mencabar bagi sekolah kita kerana
jiran-jiran kita sudah mula memberikan perhatian kepada sekolah kita. Kita sudah mula
dicemburui dan disegani oleh mereka itu. Sehubungan itu marilah kita meneruskan
langkah kita dan tidak menoleh belakang bagi kita meneruskan perjuangan ini
bagi mengisi visi dan misi sekolah seperti yang termaklum dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025. Everyone from top to bottom is accountable to
the survival of our beloved school – SK Telok Berembang. Marilah kita berjuang
dalam satu pasukan kerana ‘synergy’ sesuatu
pasukan menjadi kukuh, utuh dan tidak boleh rebah dalam keadaan biasa berpegang
kepada prinsip ‘CPO – Collaborative,
Participative and Ownership’.
Tuan/Puan para pendidik khususnya merupakan ilmuan yang harus
mempunyai jati diri dan akal budi yang mewakili suara cendekiawan yang
mempunyai nilai akar budaya yang sentiasa kuat atau ‘will power’ dalam menggerakkan perubahan dan menyingkirkan
kelemahan. Kita harus menjadi pendidik yang menyebarkan ilmu berbuah hikmah
kerana Perdana Menteri atau Timbalannya atau sesiapa saja pemimpin yang lahir
pada hari ini dimulakan oleh seorang pendidik/guru.
Marilah kita bersama-sama mendidik anak-anak didik kita yang
berpotensi menjadi ‘insan’ yang berjaya duniawi dan ukhrawi dan boleh bersaing
dalam segala lapangan di peringkat glokal dan global. Tuan/Puan merupakan ‘frontliner’ sekolah kita yang akan
melaksana dan merealisasikan aspirasi murid khususnya murid-murid sekolah kita.
Ini bertepatan dengan slogan sekolah kita yang dicetuskan dan perlu
direalisasikan iaitu “Ke Arah Mendidik Generasi Berketrampilan” atau “Towards Educating Holistic Generation”.
Saya berjanji dengan tuan/puan akan sama-sama ‘turun padang’ agar ketampakan
dan keberadaan saya di sekolah kita dirasai. Saya juga akan bersama-sama
tuan/puan dalam mengharungi susah-senang bagi memartabatkan SK Telok Berembang
di persada pendidikan.
Ibubapa/Penjaga juga berperanan penting dalam menjadi tulang
belakang yang kuat membantu sekolah menjalakan tanggungjawabnya melalui PIBG.
Program Sarana Sekolah akan menguatkan lagi perhubungan sekolah dan komuniti
setempat, badan-badan bukan kerajaan atau ‘NGO’ serta tidak ketinggalan alumni
sekolah. Kepaduan dan kejituan suara dan sokongan mereka dari segi idea, tenaga
dan bentuk-bentuk sokongan yang lain sangat-sangat pihak sekolah harapkan.
Oleh itu bersama-sama kita satu hati dalam menjinjing yang ringan
dan memikul yang berat. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, ke laut
sama direnangi. Adat tiada bertukar, rahsia tidak berubah. Selamat berjuang dan
teruskan perjuangan.
Sekian. Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
“KE
ARAH MENDIDIK GENERASI BERKETRAMPILAN”
“TOWARDS EDUCATING HOLISTIC GENERATION”
HAJI SAZALI BIN HAJI BABA
GURU BESAR
SK TELOK BEREMBANG
78100 LUBOK CHINA
MELAKA
No comments:
Post a Comment